KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah untuk mengetatkan aspek keselamatan di lapangan terbang di negara ini.
Ia berikutan kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang berlaku dua hari lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang perubahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) memerlukan perbincangan lanjut antara pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil.
“Sebarang perubahan memerlukan perbincangan lanjut. Kami akan mendapatkan nasihat PDRM untuk tingkatkan aspek keselamatan di lapangan terbang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan stesen pengecas EVlution di sini.
Dalam kejadian pukul 1.20 pagi kelmarin, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek dikenali sebagai Hafizul Hawari, 38 menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.
Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari tanah suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Mengulas lanjut, mengenai penggunaan pengimbas di pintu masuk lapangan terbang, Anthony memaklumkan, perkara tersebut belum diputuskan kerana setiap tindakan memerlukan perbincangan MAHB dan PDRM.
“Kementerian Pengangkutan akan memberi ruang kepada MAHB dan PDRM berbincang kerana ia membabitkan perubahan operasi di lapangan terbang.
“Saya yakin PDRM akan memberikan nasihat dan cadangan untuk langkah keselamatan lebih baik di lapangan terbang,” katanya. – UTUSAN






