KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh telah diminta untuk berhenti membahaskan isu stoking yang dikeluarkan oleh KK Mart.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat UMNO agar Akmal berhenti berbahas tentang isu stokin tersebut.
“Dalam mesyuarat UMNO, kami telah meminta dia (Akmal) hentikan isu ini. Kita pun terima hakikat bahawa perkara itu perlu dihentikan.
“Malah, Yang di-Pertuan Agong juga terlibat bersama meminta supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu menghentikan isu stokin dan KK Mart.
“Tapi, apabila ada timbulkan minta rakyat menolak UMNO Sabah, mereka perlu lihat UMNO Sabah dipimpin oleh orang Sabah, ada ahli yang Islam dan bukan Islam.
“UMNO Sabah sebenarnya tidak terkesan dengan isu ini tapi, hari ini saya nampak kenyataan Datuk James Ligunjang yang mengaitkan KK Mart dengan UMNO Sabah dan meminta rakyat Sabah tolak UMNO jadi, saya ketawa,” katanya ketika diminta mengulas tentang kritikan berterusan Ketua Pemuda UMNO mengenai isu stokin keluaran KK Mart.
Beliau berkata demikian semasa majlis berbuka puasa UMNO Sabah bersama anak-anak yatim, di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah turut mempersoalkan tindakan James yang tiba-tiba muncul di khalayak ramai selepas 25 tahun dan mengaitkan UMNO Sabah sebagai ekstemis.
Katanya, semua orang tahu UMNO Sabah tidak ekstremis tentang isu agama dan suku bangsa kerana pemimpin dan anggota UMNO di negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Menurut beliau, isu KK Mart tidak berkaitan dengan UMNO Sabah maka, jangan percaya dengan apa yang diperkatakan oleh James yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, UMNO Sabah tidak sepatutnya dinilai sebegitu kerana isu KK Mart berlaku di Semenanjung maka, jangan terbawa-bawa isu berkenaan di Sabah yang sentiasa aman biarpun hidup dalam masyarakat berbilang kaum. – UTUSAN






