KUALA LUMPUR: Sukar bagi ahli keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumpul semula fail senarai aset sejak 1981 sepertimana dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana penggunaan teknologi ketika itu masih terhad.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz berkata, ini kerana tahun pertama bekas Perdana Menteri itu mentadbir negara belum menggunakan teknologi aplikasi seperti hari ini.
“Bukan perkara mudah mahu cari fail dari tahun 1981, tetapi mereka masih cuba lagi. Kalau saya tanya kerajaan pun, masih ada atau tidak fail 10 tahun dulu, jawapannya tiada. Biasanya mereka simpan fail selama tujuh tahun sahaja.
“Zaman itu mana ada thumbdrive. Zaman itu ada microfiche, tak macam sekarang boleh Google, search dengan mudah,” katanya kepada Nexbyte baru-baru ini.
Sebelum ini, dua anak Dr. Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani diarah SPRM untuk membantu siasatan terhadap bapanya termasuk disoal siasat pada Januari lalu atas dakwaan Dr. Mahathir menjadi suspek utama dalam siasatan yang dijalankan SPRM.
Pada 18 Januari lalu, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.
Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Kata Mukhriz, dua abangnya itu bersedia mematuhi semua arahan dan mengikut lunas undang-undang walaupun merasakan wujud unsur politik dalam kes tersebut.
“Memang kita merasakan ada unsur politik. Kita ada undang-undang. Bila dikenakan apa-apa tindakan undang-undang, kita respon dengan undang-undang juga,” katanya.
Tambah Mukhriz, walaupun Dr. Mahathir belum sihat sepenuhnya selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selama 52 hari, itu tidak bermakna beliau tidak mengambil tahu tentang perkara yang berlaku kerana membaca akhbar setiap hari.
“Apabila sudah buat tuduhan berkenaan Tun (Dr. Mahathir), dikatakan maha kaya, kayakan anak-anak, jangan cakap sahaja, perlu ada buktinya sebab sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri, bukannya pembangkang atau ahli politik biasa.
“Saya faham benda ini sebab pernah menjadi menteri besar. Apabila jadi menteri besar, sepatah ayat pun dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan negeri.
“Pernah saya ditegur oleh seorang pegawai kerajaan negeri (Kedah) ketika sidang akhbar pertama selepas mengangkat sumpah menjadi menteri besar. Pegawai itu datang berbisik kepada saya “Datuk Seri tiada lagi ya pandangan peribadi”.
“Jadi, bayangkan bagaimana seorang perdana menteri? Beliau tiada lagi pandangan peribadi kerana apa yang dperkatakan akan menjadi ‘fatwa’ kerajaan.
“Jadi, kalau tiada asas, tak boleh cakap. Jangan berpolitik sangat, kena berpada-pada sedikit,” kata beliau. – UTUSAN
* Wawancara penuh di muka 16 dan 17






