GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan (DoF) menyita 10 buah vesel pukat tunda serta peralatan penangkapan ikan bernilai RM3 juta dalam Ops Rentas di perairan Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu lalu kerana didapati menceroboh zon larangan penangkapan ikan bagi vesel komersial.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, tujuh buah vesel itu ditahan di perairan Pulau Pinang iaitu di kawasan perairan Muka Head hingga ke Perairan Gertak Sanggul manakala tiga lagi vessel pula ditahan di perairan Taman Laut Pulau Payar.
“Vesel-vesel tersebut didapati telah melakukan kesalahan kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan taman laut.
“Antara kesalahan lain yang dilakukan oleh vesel-vesel berkenaan adalah beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir dan ketika ditahan, ada vesel yang beroperasi kira-kira dua batu nautika sahaja dari pantai.
“Pada masa yang sama, vesel-vesel ini juga didapati telah mengaut ikan-ikan yang berkualiti tinggi seperti jenahak, udang serta sotong apabila mereka beroperasi hampir dengan kawasan pantai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Wan Muhammad Aznan, selain itu, mereka juga didapati cuba melindungi nombor pendaftaran vesel daripada dilihat oleh pegawai berkuasa.
“Ada pemilik vesel yang letakkan nombor pendaftaran bot berhampiran pintu. Jadi, apabila pintu dibuka, nombor pendaftaran ini tidak nampak. Bagaimanapun, tindakan mereka ini masih berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.
“Mereka juga letakkan nombor pendaftaran bot dalam saiz kecil sebagai cubaan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” ujar beliau.
Tambahnya, prosedur penyitaan telah dilaksanakan setelah mendapati bahawa vesel-vesel tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Perenggan 8(b), Perenggan43(1)(a), Seksyen 53 dan Sub-peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan) 1985.
“Hasil sitaan bagi kesemua vesel tersebut termasuk kelengkapan peralatan menangkap ikan adalah berjumlah RM3 juta manakala sebanyak 3,000 kg ikan telah disita dan lelongan ikan adalah berjumlah RM 10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Aznan memberitahu, seramai 34 individu berusia antara 23 tahun hingga 65 tahun yang terdiri daripada empat warga tempatan, 28 warga Thailand serta masing-masing seorang warga Kemboja dan Laos didapati terlibat dalam kesalahan itu.
“Dalam hal ini, saya ingin memohon kerjasama daripada semua pihak jika mempunyai sebarang aduan dan maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 supaya menghubungi Pusat Komunikasi Perikanan (FISHCOM) di talian hotline 24 jam iaitu 03-88885019 atau 03-88704058 bagi melaporkan kejadian tersebut,” katanya.-UTUSAN






