PETALING JAYA : Seramai 12 daripada 14 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 lulus dalam mata pelajaran yang diambil.
Daripada jumlah itu, seramai 11 orang adalah klien daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah manakala seorang calon lagi dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil berkata, semua klien sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di kedua-dua PUSPEN berkenaan yang menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kebajikan pendidikan.
“Menerusi program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas sistematik dan diajar guru dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Shobah yang kini memangku jawatan Ketua Pengarah AADK berkata, program PAPK mula diperkenalkan pada 2015 bagi membantu klien yang berdepan dengan keciciran pelajaran ketika menjalani program RPDI di PUSPEN.
Katanya, usaha itu untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil yang diperoleh juga boleh digunakan mereka untuk meneruskan kehidupan sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.
“Berdasarkan pengalaman kami, ada di antara mereka yang berdepan masalah seperti tidak pandai membaca, mengira, menulis pada awal kemasukan ke PUSPEN, namun selepas mengikuti program PAPK di PUSPEN, mereka beroleh kemahiran tersebut sehingga berjaya lulus dalam SPM.
Tambah beliau, kesemua klien yang lulus SPM 2023 berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik. – UTUSAN






