KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil langkah seterusnya selepas 14 hari notis dihantar kepada enam ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Nexbyte, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana pihaknya telah mengambil ketetapan itu selaras dengan apa yang diputuskan oleh parti menerusi mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.
“Tidak kisahlah sudah beri jawapan awal atau sebaliknya, kita tetap berpegang kepada pendirian untuk mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh perlembagaan parti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Bersatu memaklumkan parti itu telah menghantar surat arahan kepada semua wakil rakyat parti tersebut yang menyokong Perdana Menteri untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan Jumaat lalu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, antara kandungan surat arahan itu adalah mengenai tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.
Susulan itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam kenyataan kelmarin berkata, beliau akan mengabaikan notis dihantar Bersatu kerana menganggap surat tersebut tiada apa-apa makna.
Selain itu katanya, notis tindakan daripada Bersatu itu tidak betul dan merosakkan fikiran rakyat serta mengganggu ahli Parlimen yang terlibat dalam menjalankan tugas di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, dalam fasal 10 perlembagaan parti menjelaskan jika mana-mana ahli parti yang gagal mematuhi arahan ditetapkan, atau seseorang itu menyertai mahupun menyokong pihak yang tidak disokong parti, ia juga akan membuatkan keahlian seseorang itu terhenti. – UTUSAN






