KUALA LUMPUR: Hanya tiga daripada lapan kesan cap dikesan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim yang cukup sifatnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun semakan di dalam sistem pangkalan data mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat itu.
“Hal ini mungkin kerana individu terbabit tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Polis sudah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata, suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter, badan bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.
Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atay 0322666071 jika mempunyai maklumat.
Terdahulu, polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan Faisal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli-belah mendapati, suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.
Sebelum itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 petang. – UTUSAN
LAKARAN fotofit suspek simbah asid kes Faisal Halim






