PUTRAJAYA: Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini termasuk mengaitkan suspek yang terlibat dengan serangan tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Beliau menjelaskan, cubaan mengaitkan dengan serangan pengganas Islam boleh menimbulkan polemik islamofobia.
“Spekulasi seumpama ini tidak patut dicetuskan bagi mengelak dunia Barat terus mengecam Islam apatah lagi dunia sedang berdepan konflik Palestin-Israel.
“Pada masa sama ia akan mengeruhkan keadaan serta membawa kesan yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat.
“Semua pihak diseru memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan terperinci. Apa-apa kenyataan rasmi perlu dirujuk kepada pihak PDRM serta pihak berkuasa,” katanya di sini semalam.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan terdapat 20 kumpulan radikal termasuk Jemaah Islamiyah (JI) bertapak di negara ini sejak merdeka yang merangkumi kategori pelampau agama, politik dan ajaran sesat.
Penolong Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady berkata, secara zahirnya saki baki pemikiran radikal masih wujud walaupun anasir keganasan sentiasa dipantau pihak keselamatan di samping bekas pengikut menjalani program pemulihan.
Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan serangan berdarah oleh seorang pemuda disyaki ahli kumpulan JI di Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota polis maut manakala seorang cedera.
Dalam serangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 21 tahun memakai topeng dan berpakaian gelap dipercayai telah membuat persediaan rapi bagi melakukan serangan berkenaan turut maut selepas ditembak oleh seorang anggota polis yang cedera di bahu semasa membalas tembakan suspek.
Pada masa sama, Mohd. Na’im berharap mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.
Jelasnya, keamanan serta perpaduan adalah perlu dipertahankan oleh semua pihak demi kesejahteraan negara. – UTUSAN






