GUA MUSANG: Harga durian Musang King dijangka naik melebihi RM80 sekilogram susulan kemarau yang melanda ketika ini menyebabkan hasil pengeluaran di seluruh negara berkurangan.
Pekebun durian Musang King, Tina Chong, 45, berkata, tahun lalu harga buah itu antara RM35 hingga RM80 sekilogram bergantung kepada kualiti.
Menurutnya, bagaimanapun tahun ini hasil pengeluarannya merosot 70 peratus menyebabkan sebahagian daripada 1,000 batang pokok durian seperti Musang King dan Duri Hitam gugur sebelum ranum.
“Cuaca panas yang melanda daerah Gua Musang antara 35 hingga 38 darjah Celsius menyebabkan hasil durian yang diusahakan saya dapat dijual kira-kira 30 peratus sahaja tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tina berkata, untuk tahun ini dia tidak dapat mengeksport Musang King ke China dan Singapura kerana hasil buah berkurangan. – UTUSAN






