PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan tiada seorang pun pemohon program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditolak menerusi permohonan yang dibuat sistem Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan trend sebelum ini, pihaknya menjangkakan lebih 100,000 permohonan selepas saluran tunggal itu dilaksanakan kali pertama bagi Ambilan Perdana Januari lalu.
Menurut beliau, permohonan UP_TVET bagi Ambilan Perdana Julai ini pada masa kini sudah mencapai lebih 36,000 orang melibatkan semua institusi TVET di bawah tujuh kementerian dengan 744 kursus ditawarkan yang mula dibuka bermula 25 Mac lalu.
“UP_TVET menawarkan dua kategori permohonan iaitu ambilan perdana dua kali setahun iaitu Januari dan Julai manakala kategori kedua, ambilan sepanjang tahun melalui penggunaan saluran tunggal secara fleksibel.
“Permohonan meningkat tiga kali ganda atau 300 peratus berbanding sebelum ini. Kita jangka 30,000 tempat ditawarkan ini dan khuatir ikut trend lama akan dimohon lebih 100,000. Jadi saya minta Sekretariat Majlis TVET Negara jangan seorang pun kecil hati untuk memperoleh tempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pengambilan UP_TVET di sini, semalam.
Menurut Ahmad Zahid, walaupun pemohon tidak ada sijil akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pihaknya akan memastikan setiap pemohon warganegara dapat memasuki mana-mana institusi TVET di negara ini.
Katanya, kursus-kursus yang ditawarkan juga akan menumpukan TVET bertaraf tinggi seperti kursus kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IOT), robotik, kenderaan elektrik dan kursus-kursus yang sangat relevan dengan permintaan industri.
“Menerusi pelaksanaan sistem ini, saya benar mengharapkan Dasar TVET 2030 yang akan diluncurkan Perdana Menteri nanti, lebih ramai akan timbul kesedaran dan kejayaan untuk mereka yang belum ada pekerjaan diberi latihan sewajarnya.
“Ia sekali gus membolehkan kadar pengangguran berada di tingkat paling bawah dan mungkin berada kurang satu digit kalau boleh, kerana memberi peluang pekerjaan berketerampilan lebih awal apa yang sepatutnya diperlukan oleh industri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, penggunaan saluran tunggal UP_TVET yang dilancarkan Oktober tahun lalu adalah bersifat fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk.
Katanya, ia merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program TVET dengan salah satu cirinya ialah institusi-institusi akan menawarkan kursus kepada calon dan calon berpeluang untuk mendapat lebih daripada satu tawaran. – UTUSAN






