PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) yang boleh mula dimohon pada 28 Mei oleh pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani dan pekebun kecil.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pelaksanaan Budi Madani susulan daripada kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu.
Menurutnya penerima yang layak di bawah dua kategori iaitu Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan Budi Madani yang akan dibuka mulai 28 Mei 2024.
“Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengecualika pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi.
“Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah Pemohon merupakan warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang akti dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
“Kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi adalah pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000,” jelasnya.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.
“Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
“Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan,” katanya.
Tambahnya, Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung. – UTUSAN






