KANGAR: Kerajaan negeri akan memberi fokus terhadap tiga kaedah bagi memajukan sektor pertanian di Perlis membabitkan pembangunan agro perniagaan, industri padi beras dan mempertingkatkan penggunaan teknologi.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, dalam aspek pembangunan agro perniagaan, kerajaan negeri komited dalam memperluaskan projek tanaman jagung bijian dalam membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan ternakan dari luar negara.
Beliau berkata, selain itu, industri padi beras juga akan diberi keutamaan pada tahun ini dengan memfokuskan kepada pembangunan projek ladang benih padi dengan keluasan 377 hektar.
“Malah dalam mempertingkatkan penggunaan teknologi, jabatan dan agensi di negeri ini akan memfokuskan kepada pembangunan projek pertanian moden bagi membantu meningkatkan keterjaminan makanan antaranya sistem hidroponik, fertigasi meja, penggunaan drone dan pelbagai lagi,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis berkenaan adalah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi akan sentiasa membantu keperluan masyarakat peladang, penternak dan nelayan mengikut peruntukan pembangunan yang telah dirancang.
“Adalah diharap angota dan penjawat awam juga dapat berdamping, memahami keperluan sasaran dan memberi perkhidmatan secara cepat,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan itu, Mohd. Shukri berkata, program berkenaan merupakan satu penghargaan buat golongan peladang, penternak dan nelayan yang memberi sumbangan terhadap pembangunan negara khususnya bagi sektor pembekalan makanan utama.
Katanya, sambutan itu perlu dijadikan medan bagi menzahirkan semangat baharu dalam memperkasakan sektor pertanian di negeri ini.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat negeri ini supaya dapat mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini menerusi booth jabatan serta agensi termasuk pihak swasta,” katanya.






