JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan semua pegawai dan anggota polis memperketatkan kawalan di semua balai polis di seluruh negara susulan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi.
Lebih menyayat hati, serangan awal pagi oleh ahli Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) itu mengakibatkan dua anggota mati dan seorang cedera.
Beliau turut mengarahkan pasukan polis melakukan kawalan ketat ke atas kawasan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk kawasan istana.
“Pesanan saya kepada semua anggota polis (seluruh negara) agar sentiasa bersiap siaga susulan kejadian ini.
“Anggota polis di lapangan ini memang ada kemahiran kerana mereka sentiasa ada latihan menembak dan latihan mempertahankan diri untuk menghadapi sebarang persediaan termasuk anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan URV termasuk serangan penjenayah,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Susulan serangan itu, beliau turut mengarahkan pasukan risikan mengenal pasti 20 ahli kumpulan JI yang berada di Johor.
Setakat ini pihak polis menahan seramai tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia 21 tahun yang melakukan serangan berkenaan.
Dua lagi yang ditahan adalah penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). – UTUSAN




