SEREMBAN: Sejak dilaporkan berlakunya pencemaran biotoksin berbahaya pada kupang di perairan Port Dickson pada 4 April lalu, buat pertama kalinya kandungan biotoksin itu mencatatkan bacaan di bawah 800 per bilion (ppb) iaitu had pengambilan selamat untuk manusia.
Ia menerusi hasil ujian makmal terkini iaitu terhadap sampel kelapan yang telah diambil pada 14 Mei lalu mengikut kaedah analisis mengesan keracunan yang mencatatkan bacaan sebanyak 498 ppb.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, susulan keputusan ujian makmal terkini itu, pihaknya telah mengarahkan pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk menjalankan satu lagi analisis identifikasi jenis plankton.
Menurutnya, analisis itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat bagi membenarkan pengambilan kupang diumumkan kepada masyarakat.
“Pada masa yang sama, berdasarkan perkembangan semasa, saya yakin kupang di perairan pantai Port Dickson ini akan kembali selamat untuk dimakan tidak lama lagi.
“Sebagai langkah awal, bermula sekarang, saya juga telah meminta pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan merangka pelan galakan pemasaran dan promosi untuk pengambilan kupang atau bahan makanan berasaskan kerang-kerangan untuk dilaksanakan apabila ujian makmal mendapati ia selamat digunakan kelak,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Jalaluddin bagaimanapun berkata, buat masa ini, kerajaan negeri menasihati semua pengguna agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa agar tidak memungut dan memakan hasil dwicangkerang dari perairan pantai Port Dickson selagi kandungan biotoksin berada di bawah paras bahaya.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah memberitahu, jika keputusan analisis makmal terhadap sampel kelapan yang diambil pada 14 Mei lalu itu menunjukkan indikator turun bawah 800 ppb pihaknya dijangka membuka kembali kebenaran untuk pengambilan kupang pada awal atau pertengahan bulan hadapan.
Katanya, jika menunjukkan penurunan, Jabatan Perikanan akan terlebih dahulu memberikan tempoh selama dua minggu untuk beberapa analisis dilakukan sebelum kebenaran itu diberikan. – UTUSAN






