SEPANG: Kejayaan Malaysia dalam aspek pengurusan jemaah haji di tanah air dan tanah suci membolehkan negara ini kekal dipilih Arab Saudi bagi pelaksanaan Makkah Route.
Susulan itu, majlis pelancaran inisiatif untuk musim haji 1445H/2024 M berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.
Jurucakap Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, acara khas berkenaan dirasmikan sendiri oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim dan turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Malaysia adalah negara perintis inisiatif prapelepasan itu yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sejak 2017 sebelum diperluaskan kepada Indonesia pada 2018.
Setahun kemudian, skim khas itu dilaksanakan pula di Bangladesh, Pakistan, Maghribi dan Tunisia sebelum dikembangkan kepada Turkiye dan Ivory Coast pada musim haji lepas.
Menerusi Makkah Route, bakal jemaah tidak perlu melalui lagi pemeriksaan imigresen Arab Saudi sejurus tiba di negara itu yang kelazimannya boleh mengambil tempoh berjam-jam.
Sebaliknya, mereka akan terus memasuki bas yang disediakan di terminal udara tersebut sebelum dibawa menuju pula hotel penginapan ditetapkan di kedua-dua kota tanah suci.
Mengulas lanjut, jurucakap TH berkata, turut hadir malam ini ialah Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Lebih 50 pegawai imigresen Arab Saudi didatangkan khas dari negara itu dan bertugas secara bergilir-gilir di 10 buah kaunter hingga penerbangan kumpulan terakhir pada 9 Jun depan.
Seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia bakal menunaikan ibadah fardu rukun Islam yang kelima itu bagi musim kali ini dengan wukuf di Arafah pada 15 Jun kelak.
Makkah Route pernah digantung pada 2020 dan 2021 susulan penutupan sempadan Arab Saudi kepada seluruh dunia disebabkan isu kebimbangan penularan wabak Covid-19. – UTUSAN






