BUTTERWORTH : Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang hari ini mengeluarkan notis pemberhentian operasi serta-merta terhadap kerja-kerja yang dijalankan di sebuah kilang pembuatan di sini.
Ia susulan kejadian seorang pekerja maut akibat terjatuh dari ketinggian lebih 20 meter di situ, kelmarin.
Menurut JKKP negeri, dalam kejadian kelmarin, seorang pekerja warga tempatan berusia 51 tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas ‘ladle crane’ di kilang tersebut.
“Susulan kejadian itu, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya di sini, hari ini.
Jabatan itu memberitahu, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP juga telah dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kemalangan tersebut.
“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mangsa merupakan penyelia untuk kerja-kerja penyelenggaraan ‘ladle crane’ di kilang berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menyelia kerja-kerja penyelenggaraan ‘ladle crane’ yang dilakukan oleh pekerja di kilang tersebut sebelum tiba-tiba terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter,” katanya.
Tambahnya, JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, dan membuat pembentangan kes kepada mereka.
“Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti.
“Lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil juga akan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” katanya yang memberitahu, JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor.-UTUSAN




