KUALA LUMPUR: Golongan pekerja disaran membuat semakan bayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh majikan.
Pengarah Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman berkata, semakan boleh dilakukan di mana-mana pejabat Perkeso untuk memastikan majikan telah membayar caruman yang sepatutnya menjadi hak pekerja.
“Kita sarankan untuk semua pihak membuat semakan potongan itu, betul-betul wujud atau tidak bagi mengelakkan penipuan oleh majikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah di sini semalam.
Majikan di seluruh negara diberi tempoh sehingga hari ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebelum pelaksanaan Ops Kesan 2024 bermula Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tempoh yang diberikan adalah peluang terakhir bagi majikan untuk mematuhi peraturan tersebut tanpa pengecualian termasuk daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja ini diminta untuk hadir dengan segera kerana keselamatan sosial merupakan kebajikan yang paling penting untuk pekerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Asris menegaskan, majikan yang gagal berbuat demikian bermula 1 Jun ini, bakal berdepan dengan tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Sekiranya majikan tidak mendaftar dalam tempoh pemutihan, Perkeso tidak akan berkompromi lagi. Selain itu, tiada juga lanjutan tempoh setelah ia tamat pada 31 Mei,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Asri sempat menyerahkan sumbangan faedah pencen ilat kepada bekas Pengurus Besar SN Legacy Sdn. Bhd. milik Datuk Seri Siti Nurhaliza, Khairul Azmir Abdul Hamid, 58, yang mengalami strok akibat penyakit buah pinggang kronik dihadapinya sejak Februari lalu.
Khairul Azmir merupakan seorang pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 (Akta 4) dengan rekod caruman sebanyak 272 bulan.
Beliau juga layak mendapat Faedah Pencen Ilat berjumlah RM3027.92 sebulan dan kemudahan dialisis bernilai RM150 untuk setiap sesi rawatan menerusi Skim Keilatan bawah Akta 4. – UTUSAN






