IPOH: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam di negeri ini berikutan pengumuman di peringkat Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada implikasi kewangan besar yang akan ditanggung kerajaan negeri.
Saarani berkata, ini kerana jumlah kakitangan kerajaan negeri di Perak hampir 9,000 orang.
“Lazimnya kita akan ikut tapi tengok kepada kemampuan kewangan dan juga mematuhi pekeliling.
“Kerajaan negeri akan meneliti pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis penyampaian replika cek dana Kreatif Negeri Perak @Port di Pejabat Menteri Besar Perak di sini, hari ini.
Saarani berkata, kerajaan negeri belum menerima sepenuhnya pekeliling mengenai kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Menurut beliau, mesyuarat exco kerajaan negeri akan membuat keputusan apabila pekeliling tersebut diperoleh.
“Pekeliling itu bergantung kepada JPA, cepat kita dapat, cepat kita kaji,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini. – UTUSAN






