PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, siasatan agensi itu berhubung rasuah tidak mengira masa dan tidak tertumpu ketika musim pilihan raya sahaja
Penegasan SPRM ini sekali gus menepis dakwaan beberapa pihak yang mengaitkan siasatan SPRM terhadap Menteri Besar Perlis adalah sebahagian daripada “drama” menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Memberitahu kepada Nexbyte, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM sentiasa bersikap profesional dan mengikut ‘rule of laws’ semasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin politik.
Menurut beliau, SPRM sentiasa mematuhi kedaulatan undang-undang semasa menjalankan siasatan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu demi membersihkan negara daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“SPRM satu badan bebas untuk menjalankan siasatan kes rasuah dan salah laku. Jika ada pihak menyarankan biar perlakuan rasuah berlaku dahulu baru tindakan boleh diambil, adakah perkara ini yang dikehendaki mereka?
“Untuk menyatakan SPRM ‘alat kerajaan’ adalah tidak benar dan tidak berasas kerana kita boleh menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja, tertakluk dalam bidang kuasa kami,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau merujuk kenyataan oleh beberapa tokoh Perikatan Nasional yang menyelar tindakan SPRM menahan individu dikaitkan dengan blok lawan itu sebagai bermotifkan politik.
SPRM menjadi kritikan pembangkang susulan tindakan agensi tersebut menahan anak Menteri Besar Perlis bagi siasatan kes pemalsuan dokumen dan tuntutan palsu berjumlah RM600,000 sejak 2022 hingga kini.
Turut dipanggil ialah Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa sejak mengambil alih pentadbiran dua tahun lepas.
Sementara itu katanya, SPRM tidak akan membuat sebarang pendedahan hasil siasatan terhadap Mohd. Shukri.
Menurutnya, apa yang penting adalah melengkapkan kertas siasatan dan sebaik siap, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi membuat keputusan secara profesional.
“Sama ada kita akan panggil semula Mohd. Shukri bergantung kepada pegawai penyiasat dan kerjasama yang diberikannya. Apa yang pasti, kita menyiasat berhubung salah guna kuasa membabitkan beliau,” ujarnya.
Kelmarin, Mohd. Shukri memberitahu kepada media, beliau tidak mengetahui siasatan apa yang dilakukan SPRM terhadapnya.
Mohd. Shukri keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 6.50 petang selepas hampir sembilan jam memberi keterangan kepada SPRM.
Siasatan SPRM dilakukan terhadap Mohd. Syukri di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022. – UTUSAN






