TELUK INTAN: Kerajaan negeri meneruskan program Tuisyen Cikgu Saarani pada tahun ini selepas ia diakui antara faktor melonjakkan pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu dilaksanakan sejak 2021 untuk pelajar yang mengambil peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“(Dengan pengakuan Jabatan Pendidikan Perak bahawa ia antara punca peningkatan pencapaian SPM 2023), maka ia akan diteruskan kerana ia menjadi salah satu penyumbang kehadiran pelajar dalam kelas tambahan waktu petang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kilang Central Medicare Sdn. Bhd. di Changkat Jong di sini, semalam.
Jabatan Pelajaran Perak semalam mengumumkan pencapaian calon SPM 2023 meningkat 0.17 mata apabila memperoleh 4.75 mata berbanding 4.92 bagi calon SPM 2022.
Menurut Saarani, sejarah permulaan program tersebut bermula pada 2021 iaitu ketika pandemik Covid-19 apabila banyak sukatan mata pelajaran tidak sempat dihabiskan.
Oleh itu, jelasnya, guru sekolah mengadakan kelas tambahan waktu petang tetapi ramai pelajar tidak hadir kerana tiada makanan tengah hari dan kantin pula tidak dibuka.
Katanya, jika mahu pelajar berulang alik untuk menghadiri kelas tambahan waktu petang, ramai dalam kalangan mereka tidak dapat hadir kerana mungkin tertidur di rumah disebabkan kepenatan.
Oleh itu, maklumnya, kerajaan negeri membuat keputusan memberi peruntukan RM3 juta untuk membiayai kos makanan tengah hari iaitu RM5 untuk seorang pelajar bagi memudahkan mereka menghadiri kelas tambahan waktu petang tanpa perlu balik dahulu ke rumah masing-masing. – UTUSAN





