PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka mendoakan kedua-dua anggota polis tersebut ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan syuhada.
“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka.
Terdahulu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas mereka diserang seorang lelaki yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi ini.
Mangsa yang ditembak dikenali sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media di lokasi kejadian memaklumkan, suspek dalam kejadian serangan itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI). – UTUSAN






