PETALING JAYA: Sebanyak 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan oleh empat premis urut serta pelacuran sekitar Kepong dekat sini dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
Tindakan penguatkuasaan itu dijalankan ekoran daripada siasatan dan risikan selama lima hari di sekitar kawasan tersebut selepas mengenal pasti empat premis didapati melanggar undang-undang.
DBKL dalam kenyataan berkata, sebanyak empat notis di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016 telah dikeluarkan atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah.
“Selain itu, sebanyak 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan ke atas empat premis telah dirobohkan di bawah kesalahan Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Keempat-empat premis tersebut juga telah dikenakan tindakan tutup serta-merta dan barangan perniagaan telah disita,” katanya.
Menurutnya, kesemua barangan yang disita telah dibawa dan disimpan di Stor Jalan Lombong, Cheras dekat suni.
Jelasnya, pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat laman sesawang Adu@KL di pautan http://adukl.dbkl.gov.my,” katanya. – UTUSAN





