PETALING JAYA: Aspek keselamatan pertahanan negara terutama di kawasan sempadan tidak dilupakan ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha semalam.
Sehubungan itu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengadakan tinjauan ke Kawasan Tanggungjawab Op Pasir Sektor Bravo, Pulau Berhala dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan, Sabah.
Lawatan kerja itu bertujuan mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai aspek pengoperasian sempadan selain melihat sendiri keperluan dan kebajikan anggota yang bertugas.
Dalam lawatan tersebut, Adly turut menyampaikan sumbangan 10 Kotak Makanan beserta daging sembelihan korban kepada Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5 RRD) iaitu Leftenan Kolonel Chai Kean Seng.
Sempena lawatan ulung Timbalan Menteri Pertahanan ke Markas Taktikal Pulau Berhala, beliau diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan OP PASIR yang dilaksanakan bagi melindungi kedaulatan negara dari sebarang bentuk ancaman pencerobohan.
Beliau turut menyempurnakan penyembelihan korban dua ekor lembu yang disumbangnya dan turut tidak melepaskan peluang menghadiri Majlis Ramah Mesra dan jamuan Aidiladha bersama warga MAWILLA 2.
Siri lawatanerja Timbalan Menteri Pertahanan di MAWILLA 2 diakhiri dengan sesi taklimat operasi oleh pihak Markas.
Katanya, lawatan kerja itu merupakan inisiatif beliau dalam menyantuni warga ATM yang sedang melaksanakan operasi di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu selaras Kertas Putih Pertahanan (KPP). – UTUSAN






