IPOH: Barisan Nasional (BN) melihat penggunaan logo parti itu sendiri dalam pilihan raya akan datang termasuk jika berlaku kekosongan kerusi di Parlimen Kuala Kangsar dan Bukit Gantang.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan ketiadaan logo sendiri yang menggambarkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, jika ada pilihan raya, gabungan PH-BN akan bertanding menggunakan logo parti masing-masing dan menyokong antara satu sama lain atas dasar saling percaya mempercayai.
“Yang mana BN bertanding dan PH tidak bertanding, PH akan sokong BN. Yang mana PH bertanding, BN tak bertanding tapi akan sokong PH. Tapi menggunakan logo masing-masing. Seperti pilihan raya kecil (PRK) inilah.
“Kalau ditakdirkan berlaku PRK di Kuala Kangsar ataupun Bukit Gantang. Jika BN meletakkan calon, kita akan pakai logo BN. Tapi PH akan menyokong calon BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) biarpun mengadakan kerjasama politik dengan PH.
Negeri Perak menjadi tumpuan politik apabila Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Bukit Gantang daripada parti Bersatu sebelum ini yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri berdepan kemungkinan hilang kedudukan sekali gus perlu diadakan PRK.
Sementara itu dalam majlis sambutan dihadirinya, Saarani yang hadir sebagai Menteri Besar Perak menyambut baik program sedemikian kerana baginya penting untuk mengadakan kempen perpaduan secara bersemuka berbanding menerusi media semata-mata.
Turut hadir dalam majlis sambutan itu ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan. – UTUSAN






