KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 permohonan program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bernilai RM3.8 juta diluluskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, BRIEF-i merekodkan lebih1,000 pertanyaan (inquiries) daripada usahawan di seluruh negara.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 135 permohonan sedang diproses melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.7 juta.
“Bank Rakyat telah meluluskan sebanyak 43 permohonan membabitkan pembiayaan RM3.8 juta berbanding sasaran jumlah kelulusan sebanyak RM4.0 juta,” kata beliau pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Kata beliau, kerjasama antara kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat sangat penting untuk membantu usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka.
“Oleh itu, dalam usaha untuk membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan dinamik, perhatian khusus harus diberikan kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Ramanan berkata, hari ini sahaja seramai 17 orang penerima dalam kalangan usahawan kaum India dari seluruh negeri yang menerima cek hadir menerima pembiayaan BRIEF-i
“Terdapat pemohon yang datang dari pelbagai negeri iaitu Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu.
“Dilihat penerima hadir pada hari ini memperoleh RM30,000, RM50,000 dan terdapat penerima yang menerima sepenuhnya, iaitu maksimum RM1 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak merakamkan penghargaan kepada pelanggan Bank Rakyat alas keyakinan dan sokongan diberikan terhadap perkhidmatan, produk perbankan serta kempen yang dianjurkan.
“Menjadi harapan Bank Rakyat agar program BRIEF-i dapat membantu usahawan untuk berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluang perniagaan era digital,” katanya.- UTUSAN






