GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat keberadaan produk yang menggunakan platform e-dagang dari China di pasaran yang didakwa mengandungi bahan kimia toksik yang tinggi.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan pendedahan yang dibuat oleh pihak berkuasa Bandaraya Seoul baru-baru ini bahawa produk kanak-kanak yang dijual menerusi platform beli-belah dalam talian itu mengandungi bahan kimia toksik yang tinggi.
“Maklumat terkini mendedahkan bahawa tujuh daripada lapan produk yang diuji daripada platform beli belah dalam talian tersebut mengandungi formaldehid dan ftalat melebihi had keselamatan.
“Sepasang kasut kanak-kanak mengandungi ftalat melebihi had yang dibenarkan sebanyak 428 kali. Ftalat ini tergolong dalam kumpulan bahan kimia yang mengganggu endokrin,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, pendedahan kepada jumlah ftalat yang tinggi memudaratkan sistem pembiakan, neurologi dan perkembangan manusia, dengan kanak-kanak menjadi lebih rentan.
“Formaldehid apabila diserap melalui kulit boleh mengakibatkan ketoksikan sistemik yang teruk, membawa kepada asidosis metabolik, kerosakan tisu dan organ dan koma,” katanya.
Tambah beliau, produk platform e-dagang itu adalah salah satu kedai fesyen dalam talian terbesar di dunia, terkenal dengan harga yang rendah dan trendnya.
“Malah sebuah artikel majalah Time pada tahun 2023 menggelarnya sebagai jenama fesyen paling popular di dunia. Pertumbuhan yang meletup ini mencetuskan pihak berkuasa di Korea Selatan dan Kesatuan Eropah untuk melihat dengan lebih dekat amalan perniagaan dan standard keselamatan mereka.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana platform ini merupakan salah satu platform e-dagang dalam talian yang popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.
Oleh itu, katanya, berdasarkan kepada situasi di atas, CAP menggesa pihak berkuasa negara ini untuk segera menjalankan ujian keselamatan produk yang dijual di platform itu kerana ia didapati mengandungi bahan kimia yang sangat berbahaya.-UTUSAN






