KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengesahkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyekat sebarang pemberian geran tahunan sejak beliau mentadbir negeri ini.
Beliau berkata, setiap tahun geran itu diterima dalam bentuk geran perkapita.
“Geran perkapita bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM272.55 juta, RM 296.98 juta (2020), RM317.65 juta (2021), RM346.91 juta (2022) dan RM354.02 juta (2023).
“Anggaran geran tahunan bagi tahun 2024 belum dapat diberikan kerana tertakluk kepada polisi dan dasar yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Syahbuddin Hashim (Galas-BN) pada persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan terutamanya Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim diatas pemberian tersebut. – UTUSAN






