KUALA NERUS: Keterujaan empat sepupu yang kali pertama mendaki Bukit Maras di sini bertukar cemas selepas tersesat hampir tiga jam ketika turun dari bukit berkenaan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa dua lelaki dan dua wanita itu kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan melalui jalan tangki air Kampung Bukit Maras dibantu pelbagai agensi dan penduduk setempat.
Ujarnya, setengah jam kemudian pasukan SAR berjaya mengesan isyarat melalui panggilan telefon dari salah seorang mangsa dan berjaya menyelamatkan mereka pada jarak lima kilometer dari tangki air.
“Mereka ditemukan selamat kira-kira pukul 2.30 petang namun berada dalam keadaan lemah dan tiba di kaki bukit pada pukul 5.30 petang selepas dibawa turun menaiki kenderaan pacuan empat roda.
“Menurut laporan awal, kesemua mereka datang dari Kota Bharu, Kelantan pagi ini untuk mendaki Bukit Maras sebelum tersesat ketika dalam perjalanan turun ke kaki bukit,” jelas beliau ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, operasi disertai 22 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat penduduk.
Sementara itu salah seorang mangsa, Shahrul Amin Nozi, 21, berkata, dia bersama tiga sepupunya memulakan pendakian pada pukul 6.50 pagi dan tiba di puncak bukit dua jam kemudian.
Pelajar universiti itu berkata, mereka berempat mula turun dari puncak bukit pada pukul 12 tengah hari, namun laluan terhalang akibat pokok tumbang selain tidak menemui sebarang papan tanda.
“Ketika memulakan pendakian ada beberapa lagi pendaki lain tetapi kami menemui jalan buntu ketika hendak turun sebelum berjaya membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa.
“Ini pertama kali kami mendaki Bukit Maras selepas mengetahui kecantikannya melalui media sosial dan tidak akan serik cuma perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN






