PETALING JAYA: Ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman tujuh hari bagi siasatan lanjut, sudah melantik peguam baharu bagi mewakili mereka.
Datuk kepada kanak-kanak itu, Zahari Mohd Reba mengesahkan dia sudah melantik peguam baharu.
“Maaf ya..buat masa ini saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan lagi atas nasihat peguam saya,” katanya di sini.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan peguam mewakili ibu bapa Zayn, Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula hari ini.
Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, beliau tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9 malam 6 Disember lalu.
Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya. – UTUSAN






