SETIU: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung penahanan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemukan mati dibunuh, Disember tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas menahan reman ibu bapa mangsa sehingga 7 Jun.
“Tempoh reman tujuh hari masih berjalan, jadi bagi ruang pihak polis menyiasat terlebih dahulu.
“Setakat ini tangkapan hanya dua orang sahaja iaitu ibu bapa mangsa, tiada tangkapan lain,” katanya.
Razarudin berkata demikian ditemui selepas Majlis Penutup Kejohanan Kuda Lasak Piala Ketua Polis Negara Sempena Hari Polis Ke-217 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, hari ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Terdahulu, media melaporkan penahanan ibu bapa Zayn Rayyan di Puncak Alam, Selangor, yang disahkan berkaitan pembunuhan kanak-kanak malang berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam kenyataannya berkata, pasangan suami isteri itu ditahan kelmarin dan direman selama tujuh hari sehingga 7 Jun ini.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai kira-kira pukul 10 malam.
Mayat mangsa kemudian ditemui oleh sekumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. – UTUSAN




