KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Jun ini bagi keputusan permohonan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang sedang berlangsung dijalankan secara terbuka.
Peguam yang mewakili Dr. Mahathir, Zainur Zakaria berkata, hak untuk perwakilan undang-undang di bawah Seksyen 18 Akta RCI 1950 perlu dilakukan secara terbuka supaya orang awam tahu tentang perkara yang sebenar.
“Tun Mahathir telah dipersalahkan dari seluruh negara, dan di sosial media kerana perkara ini. Prosiding ini tidak dilaporkan secara terbuka.
“Kenapa perlu bersembunyi daripada orang ramai? Tiada apa yang perlu kita sembunyikan,” katanya ketika berhujah di sini, hari ini.
Seorang lagi peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan pihaknya akan membentangkan kesemua dokumen, senarai saksi dan bukti pada prosiding RCI Rabu ini.
Keputusan oleh Hakim Amarjeet akan dibuat beberapa jam sebelum Dr Mahathir memberi keterangan dalam RCI tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan, Dr Mahathir diarah hadir ke prosiding RCI berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada Rabu ini.
RCI itu bertujuan mengkaji pengendalian kes kedaulatan tiga pulau yang terletak di antara Johor dan Singapura.
Ia dijangka menyemak keputusan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir yang menggugurkan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menganugerahkan pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Sementara itu, pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul BolHassan yang mewakili panel RCI tersebut menghujahkan bahawa mahkamah tidak patut membenarkan semakan kehakiman tersebut disebabkan pelantikan ahli panel suruhanjaya tersebut dibuat oleh Yang Di Pertuan Agong.
Mana-mana keputusan atau tindakan yang dibuat oleh YDPA tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. – UTUSAN






