SHAH ALAM: Seramai 82 daripada 247 pelajar dari 30 buah sekolah yang terlibat dalam Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak pada 8 Jun lalu dilapor mengalami gejala keracunan makanan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ummi Kalthom Samsudin berkata, pelajar terbabit mengalami gejala tersebut selepas memakan sarapan pagi yang dibekalkan kepada guru-guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar.
Menurutnya, keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa.
“Kes berlaku melibatkan urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berumur di antara 1 ttahun 7 bulan hingga 58 tahun. Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya.
“Seramai 28 kes telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes yang dimasukkan ke wad. Sebanyak dua (2) kes dilaporkan telah meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan.
“Kes pertama adalah seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan kes kedua adalah kanak-kanak perempuan berumur 1 tahun 7 bulan. Kedua-duanya telah memakan makanan disyaki yang dibawa pulang oleh ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, JKNS masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan itu dijalankan.
Dalam pada itu, Dr. Ummi Kalthom memaklumkan, sampel makanan yang diambil pada hari kejadian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut.
Terdahulu, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak, Sabtu lalu.
Mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Shahzihan Ahmad memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan keracunan yang mengakibatkan dua termasuk kanak-kanak perempuan maut adalah disebabkan telur mata.
Menurutnya, beliau sudah pun mengeluarkan arahan agar menghentikan perkhidmatan bekalan makanan disyaki mempunyai kaitan dengan kes kematian tersebut .
“Mungkin ada (kaitan telur mata tersebut) sebab makanan yang sebabkan sakit perut kepada 33 yang lain dibawa balik oleh ibu dan bapa mangsa.
“Saya dilaporkan ada kes melibatkan kematian yang boleh dikaitkan dengan peristiwa akibat memakan makanan bermasak yang dibeli perkhidmatannya oleh JAIS untuk program amal islami di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Cincin.
“Saya menerima laporan semalam dan telah meminta bahagian pendidikan Islam untuk hentikan perkhidmatan bekalan makanan disyaki ada kaitan dengan kes ini,” ujarnya. – UTUSAN






