PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik keputusan kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Keputusan meratifikasikan Konvensyen C155 itu dibuat pada Selasa lalu semasa menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) ke-112 di Geneva, Switzerland.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, ratifikasi itu membuktikan komitmen berterusan oleh kerajaan memantapkan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk di sektor perkhidmatan awam.
“Kesuma melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan pekerja yang sedang bekerja.
“CUEPACS yakin langkah KESUMA meratifikasi Konvensyen C155 mampu menjadi pemangkin kepada aspek pematuhan majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing terutama dalam menerapkan budaya pencegahan,” katanya dalam kenyataan.
Adnan turut berharap semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun kerajaan mengambil maklum mengenai ratifikasi tersebut dengan mengambil bahagian dalam sesi pemakluman mengenai ratifikasi dan keperluan pematuhannya.
Katanya, memperkasakan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor awam bukan sahaja dapat menjamin kebajikan penjawat awam, tetapi juga menjadi contoh kepada sektor swasta. – UTUSAN






