NIBONG TEBAL : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga gula setakat ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sehingga kini, tidak ada keputusan daripada kabinet berkenaan kenaikan harga keperluan asas terbabit.
“Sudah banyak kali saya jawab berkenaan isu gula ini di Parlimen dan benar, syarikat pengeluar gula iaitu MSM dan CSR memang mengadu yang mereka kerugian 88 sen bagi setiap satu kilogram (kg) yang dikeluarkan.
“Maka, mereka memohon (kepada) kerajaan untuk menaikkan harga, namun, kerajaan memberikan mereka insentif sebanyak RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat ini untuk pastikan bekalan gula dapat terus dikeluarkan sekali gus menstabilkan bekalan.
“Apa yang saya tegaskan, kerajaan tidak ada keputusan untuk naikkan harga gula dan tentang dakwaan kenaikan harga gula pada April lalu, itu spekulasi saja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Fuziah menghadiri Program Hari Terbuka MySubsidi Diesel Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sungai Bakap di sini.
Mengulas lanjut, Fuziah bagaimanapun berkata, setakat ini, kerajaan juga belum membuat keputusan berhubung tempoh pemberian insentif itu kepada pihak industri gula.
“Setakat ini, pembelian insentif itu masih berjalan dan tiada tempoh sampai bila ia akan diberikan,” katanya.
April lalu, media melaporkan bahawa KPDN memaklumkan, kenaikan harga kawalan gula daripada RM2.85 sekilogram ketika ini selain isu subsidi gula antara sedang difikirkan menerusi mekanisme baharu penentuan harga yang akan diputuskan pada bulan ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyelesaian perkara berkenaan bukan suatu yang mudah terutamanya jika ia melibatkan kenaikan harga kawalan.
Kata beliau, perkara tersebut perlu difikirkan dengan teliti bagi menangani isu penyeludupan berikutan Harga gula di negara ini masih rendah berbanding Indonesia iaitu kira-kira RM5 sekilogram dan RM8.30 di Filipina.-UTUSAN






