KANGAR: Mangsa wanita yang cedera selepas dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini kelmarin kini ditidurkan susulan daripada kecederaan dialaminya.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli selepas melawat mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.
Menurut beliau, bapa mertua mangsa, Hanizam Hussin memaklumkan menantunya itu mengalami beberapa kecederaan seperti pendarahan dalam kepala dan patah tulang belakang kanan serta kiri.
“Mangsa kini sedang ditidurkan dan dirawat di ICU HTF, dan kita mengharapkan agar dia cepat pulih,” katanya ketika ditemui di perkarangan HTF, di sini semalam.
Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri, Muhammad Danish Hakim Hanizam dan Nuraleya Syazreena Roslan masing-masing berusia 18 tahun cedera selepas dihempap pokok sewaktu ribut kencang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini, semalam.
Selain itu, bayi berusia lima bulan yang dikandung mangsa turut keguguran dalam kejadian sekitar pukul 3 pagi itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kejadian berkenaan berlaku sewaktu mangsa bersama suaminya sedang dalam perjalanan pulang berkerja dari kedai makan milik ibu mertuanya.
“Mereka bertolak pulang dengan bapa dan ibu mertua, kakak serta suaminya secara bersama menaiki tiga buah motosikal setelah keadaan hujan mula reda pada hari kejadian itu.
“Malah sewaktu kejadian, motosikal ditunggang mangsa berada di hadapan sekali sebelum dihempap pokok,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika diminta mengulas mengenai pokok-pokok tua di sebarang Jalan Tambun Tulang, Mohd Shukri berkata, kebanyakan tanaman yang tidak kukuh telah ditebang bagi tujuan keselamatan.
Katanya, beliau juga ada menerima permohonan daripada beberapa pihak sebelum ini yang meminta agar kerajaan negeri tidak menebang pokok-pokok tersebut namun tindakan itu perlu diambil demi kebaikan semua pihak.
“Pencinta alam sekitar kena faham tujuan kita buang pokok-pokok ini bukan untuk kurangkan kehijauan tapi disebabkan keadaan bahaya dan keselamatan pengguna lalu lintas,” katanya.-UTUSAN






