NIBONG TEBAL : Calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin malam tadi melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berteraskan empat tawaran utama yang digariskan menerusi akronim PADU.
Joohari berkata, empat teras yang terkandung dalam manifesto yang diambil daripada perkataan Per-PADU-an itu tertumpu kepada aspek prasarana dan progresif (P), akhlak, akademik, anak muda (A), damai (D) dan untuk semua (U).
Menurut beliau, di bawah teras P, antara iltizam beliau adalah untuk memastikan projek-projek infrastruktur air dan lalu lintas seperti projek LRA Sungai Kerian, projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara disempurnakan mengatasi permasalahan.
Berdasarkan teras A, beliau berhasrat untuk meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda melalui Pendidikan Percuma Tuisyen Rakyat untuk pelajar SPM dan mengembangkan program-program STEM, TVET dan AI menerusi Pusat Sebarang Maklumat Nasional (NADI) selain menambah serta meningkatkan fasiliti sukan rakyat.
“Huruf D atau damai memberi tumpuan untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan pelbagai etnik dengan pengukuhan institusi keluarga berdasarkan pelbagai program inklusif menerusi penoktahan miskin tegar melalui pemberian bantuan kerajaan yang efisien.
“Sementara U pula mewakili Untuk Semua meliputi layanan dan perhatian yang adil kepada seluruh masyarakat dengan memberi fokus kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita, pengembangan kanan-kanak serta warga emas tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan iltizamnya menerusi Ceramah Perpaduan di Taman Tasek Indah di Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Tambah Joohari, beliau akan cuba menjelaskan kepada masyarakat akan iltizamnya dalam tempoh kempen berbaki enam hari lagi.
“Saya nak menyatakan komitmen saya bahawa saya akan berusaha menunaikan iltizam ini. Perkara tersebut bila dirancang, kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan.
“Masalah (Sungai Bakap) kita bukanlah dapat diselesaikan dalam masa satu minggu, dua minggu. Tapi saya yakin Insya-Allah, saya dapat laksanakannya, berilah masa.
“Ini kerana projek besar macam ini, ia melibatkan banyak peringkat, bukan hanya di kawasan DUN sebaliknya ia juga melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Jadi, lebih mudah sebenarnya bila ada Kerajaan Negeri dan Persekutuan selari dan memberikan komitmen sama, maka saya akan cuba pastikan ia dapat dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN






