PETALING JAYA: Semua pihak digesa segera ‘celik akal’ dan tidak berterusan berfikiran di takuk lama demi memajukan kawasan bandar secara lebih teratur.
Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, sikap tidak mengambil tahu sebagai perancang bandar dan pemimpin di negara ini mewarisi sikap ambivalen terhadap bandar daripada tradisi perancangan British.
“Pada 1950-an, Kuala Lumpur dianggap terlampau sesak dan disebabkan itu Petaling Jaya dibangunkan sebagai ‘Bandar Satelit’. Jika perancang itu tahu betapa sesaknya Kuala Lumpur hari ini, pasti mereka berasa kecewa.
“Malaysia kini benar-benar sebuah negara bandar, tetapi tidak membangun seiring dengan pemikiran. Ramai pembangun mungkin masih tidak memahami realiti bandar baharu negara ini,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia pada dasarnya adalah masyarakat luar bandar sehingga setengah abad yang lalu.
“Pada tahun 1980, hanya 35 peratus rakyat Malaysia dan 15 peratus Melayu tinggal di pusat bandar. Hari ini, hampir 80 peratus rakyat Malaysia dan 75 peratus Melayu tinggal di kawasan bandar. Malaysia kini benar-benar sebuah negara bandar, tetapi tidak semua minda adalah bandar, ramai pembuat keputusan mungkin masih tidak memahami realiti bandar baru negara kita,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kata beliau, Malaysia telah mengamalkan gaya hidup Amerika dengan pembinaan lebuh raya dan sebahagianya bergantung kepada kereta penumpang.
“Kita menjadi Amerika sebelum kita menjadi kaya. Syarikat milik kerajaan (GLC) dan pembangun hartanah telah mendapat keuntungan besar daripada mengubah estet ke kawasan kediaman.
“Kerajaan juga terlibat secara aktif dalam penjualan kereta dan pembinaan lebuh raya sejak 40 tahun lepas, tetapi tidak menggunakan banyak dana awam untuk menyokong perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, sementara pembangunan bandar yang pesat, bangunan warisan pinggir bandar dalam keadaan terabai perlu diberi perhatian.
“Kita belum mengambil kira keperluan untuk memberi penjagaan kepada populasi semakin tua yang akan menjadi kebimbangan utama pada tahun-tahun akan datang.
“Kita sebagai sebuah negara, patut mengumpulkan semua sumber untuk sekurang-kurangnya menyediakan perumahan yang layak di bandar dalam untuk golongan muda yang bekerja di bandar,” katanya.
Sebagai contoh kata Chin Tong, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan anak syarikat utamanya, Sime Darby, patut memastikan usaha besar agar 15,000 pekerja yang akan bekerja di Merdeka 118 boleh mencari penempatan dalam jarak berjalan kaki, terutamanya bagi mereka yang mendapat pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan.- UTUSAN





