KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik kedai emas di daerah ini mengalami kerugian RM700,000 setelah pekerjanya disyaki melarikan barang kemas milik pelanggan, 2 Jun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kejadian tersebut disedari wanita berusia 37 tahun itu ketika berada di premisnya dan memeriksa rekod tempahan pelanggan.
Beliau berkata, semakan pengadu menunjukkan salah seorang pekerjanya telah menerima satu tempahan emas untuk dileburkan dan mengambil bayaran deposit bagi tempahan berkenaan.
Menurut Mohd. Khairi, pekerja itu yang juga suspek dalam kes ini yang merupakan wanita berusia 28 tahun bagaimanapun tidak merekodkan transaksi tersebut dengan tepat dalam buku daftar.
“Suspek disyaki menipu apabila rekod menunjukkan berat emas yang diterima berbeza dengan berat sebenar sehingga menyebabkan pengadu terpaksa menanggung kerugian.
“Kejadian ini hanya disedari pengadu selepas pelanggannya itu membuat laporan polis kerana belum menerima emas yang dihantar untuk dileburkan di kedai pengadu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas Mohd. Khairi lagi, kes masih berjalan dengan pihaknya sedang giat memburu suspek selain mengumpul bukti-bukti dan mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara satu sehingga 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN






