KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mendakwa rugi RM3.5 juta selepas dua tanah lot yang dijualnya tidak `mendatangkan’ hasil kerana disyaki ditipu peguam dilantiknya.
Mangsa berusia 63 tahun dan tinggal di Ampang, Selangor telah membuat laporan polis pada Khamis lalu selepas mendakwa ditipu peguam berkenaan manakala tanah miliknya juga sudah dipindah milik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa memaklumkan dia telah menandatangani perjanjian jual beli untuk menjual dua tanah lot miliknya kepada sebuah syarikat dengan nilai RM3.5 juta pada 25 Oktober 2022.
“Perjanjian tersebut telah disaksikan oleh seorang peguam daripada firma guaman yang telah dilantik untuk mewakili mangsa.
“Mangsa kemudian telah selesai melakukan urusan cap jari di Pejabat Tanah Petaling bersama peguam yang dilantik pada 15 Mac tahun lalu.
“Urusan penjualan tanah tersebut selesai pada hari sama namun sehingga kini mangsa mendakwa tidak menerima wang hasil penjualan tanah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Menurut beliau, polis sedang menyiasat kes penipuan atau pecah amanah membabitkan peguam yang mungkin membabitkan segelintir kalangan mereka namun nilai kerugian yang direkodkan bagi setiap kes adalah besar.
“Pihak polis memandang serius isu ini dan usaha yang sewajarnya perlu diambil bagi mengekang kes-kes sebegini daripada terus berlaku.
“Majlis Peguam Malaysia juga digesa untuk turut senada dalam hal ini dan melaksanakan peranannya demi menjaga imej dan nama baik profession peguam,” kata beliau. – UTUSAN






