HULU TERENGGANU: Seorang pengusaha kedai makan di Taman Damai, Kuala Berang, dekat sini, bersama pekerja dan pelanggan hanya mampu laungkan azan serta lari selamat diri setelah premisnya dilanda ribut, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Sawiyah Muda, 63, adalah antara salah seorang daripada hampir 10 peniaga di beberapa lokasi sekitar Kuala Berang yang terjejas akibat tragedi dipercayai kepala angin itu.
Menurutnya, dia terkejut dan ketakutan sehingga tidak bermaya berdiri terpaksa dipapah keluar ke kaki lima bangunan bersebelahan untuk berlindung.
“Sebelum kejadian, saya dan enam pekerja sedang lakukan pelbagai kerja termasuk kemas barang, manakala empat pelanggan lelaki dewasa menikmati makanan.
“Kejadian berlaku sekelip mata. Mulanya cuma hujan, namun tiba-tiba kami terdengar serta melihat pusaran angin bergerak laju menuju ke kedai dan tiada yang dapat dilakukan waktu itu selain sama-sama laungkan azan.
“Sepantas kilat, sebahagian struktur bumbung runtuh selain diterbangkan angin dan dalam keadaan cemas serta kelam-kabut itu, kami semua keluar dari kedai bagi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah moyang dua cicit itu, mereka semua bernasib baik kerana selamat keluar dan kejadian hanya beberapa minit itu menyebabkan kerugian dijangka cecah lebih RM10,000.
Seorang peniaga kedai makan di Kampung Langgar, Nor Farida Sulaiman, 45, pula berkata, dia yang baru parkir kenderaan di sebuah pasar raya di bandar Kuala Berang bergegas ke kedainya setelah mendapat berita mengenai kejadian ribut itu.
“Awalnya saya seperti tidak percaya apabila ada penduduk kampung telefon bagitau kedai rosak dilanda ribut sehinggalah saya melihat video serta gambar dihantar melalui kiriman WhatsApp.
“Terkedu saya melihat tempat mencari rezeki sejak tujuh tahun lalu bersama suami, Ridam Syah Arpani, 50, berubah sekelip mata akibat ribut. Ada orang kampung maklum, mereka lihat pusaran kepala angin menuju ke arah kedai,” ujarnya. – UTUSAN





