ISKANDAR PUTERI: Perincian berhubung pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dibuat secara bersama oleh wakil kedua-dua negara terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa JS-SEZ pertama yang diadakan pada 30 Mei lalu.
Sementara itu katanya, pertemuan pertama antara menteri kedua-dua negara bakal diadakan pertengahan bulan ini.
“Pada akhir Jun ini, satu bengkel bagi memuktamadkan tawaran kedua-dua negara terlibat berhubung inisiatif itu akan dibuat, sebelum perjanjian berkenaan ditandatangani akhir tahun ini.
“JS-SEZ ini akan menjadi ‘Economic Game Changer’ buat negeri Johor. Ia dijangka akan menarik nilai pelaburan tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, melahirkan bakat berkemahiran tinggi dan banyak lagi,” katanya selepas mempengerusikan sesi penerangan berkaitan JS-SEZ sebagai wakil Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Kota Iskandar, di sini.
Menurut Ting Han, kerajaan juga telah menggariskan pelbagai sasaran makro dan indikator yang hendak dicapai melalui JS-SEZ sekaligus menyokong usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Sejak perjanjian persefahaman (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dan Kerajaan ditandatangani pada 11 Januari, gerak kerja proaktif dapat dilihat di peringkat Malaysia.
“Antara usaha yang telah dibuat termasuklah penggunaan sistem Kod QR di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) untuk memasukkan Singapura,” ujarnya. – UTUSAN





