PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan, perincian menyeluruh kenaikan gaji penjawat awam akan dibuat sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan Oktober ini.
Perdana Menteri berkata, langkah di bawah pelaksanaan sistem saraan perkhidmatan awam (SSPA) itu sebagai ganjaran kepada mereka yang bekerja keras selepas berbelas tahun tidak ada kenaikan gaji dilaksanakan.
“Kita lihat umpamanya sudah sekian lama tidak ada satu kenaikan yang bermakna gaji penjawat awam dalam keadaan kita bagi tekanan lebih kuat sekarang, kerja lebih kuat, pemantauan lebih kuat dan penguatkuasa termasuk SPRM lebih hebat, terjah ke kawasan-kawasan dan jabatan-jabatan.
“Jadi kalau semua perkara itu dan kita harapkan mereka bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.
“Sebab itu saya semalam di Parlimen, apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan Insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya pada majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar sebelum ini memaklumkan, kenaikan gaji penjawat awam kumpulan rendah akan mencecah 20 hingga 40 peratus mengikut perincian sebenar walaupun pengumuman semalam hanya melibatkan kadar kenaikan lebih 13 peratus.
Perdana Menteri berkata, sistem kajian SSPA adalah bersifat lebih munasabah yang mana golongan penjawat awam pangkat tinggi akan naik sedikit, manakala mereka berpangkat rendah pula menikmati banyak kenaikan.
Pada sambutan Hari Pekerja 2024 lalu, Anwar mengumumkan berita baik kepada 1.6 juta penjawat awam iaitu kenaikan gaji kepada golongan tersebut lebih 13 peratus berkuat kuasa 1 Disember tahun ini.
Kenaikan itu tertinggi dalam sejarah selepas 12 tahun tiada penambahbaikan dilaksanakan untuk penjawat awam dengan pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada kadar RM2,000 melibatkan implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM10 bilion. – UTUSAN






