PETALING JAYA: Sampah berselerak, tiada ruang letak kereta dan kecurian antara isu melingkari projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diperkenal puluhan tahun lalu bagi menangani masalah perumahan golongan berpendapatan rendah serta setinggan.
Sejak mula diduduki, kawasan petempatan ini tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah berbangkit sehingga ada melabelkannya sebagai perumahan kelas ketiga.
Situasi ini dikhuatiri memberi kesan buruk terhadap kualiti hidup penghuninya sedangkan ia sepatutnya menyediakan perumahan yang selesa dan selamat kepada mereka.
Tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa PPR di ibu negara dan Selangor mendapati, kira-kira 90 peratus penghuni yang ditemui kecewa serta tidak berpuas hati dengan tahap keselesaan dan keselamatan di perumahan itu.
Rungutan di setiap PPR hampir sama, iaitu tempat letak kenderaan sesak, tikus banyak, ‘sampah terbang’, lif rosak, cat kusam, bising, faktor keselamatan, kecurian dan isu strata.
Semasa tinjauan di PPR Sri Sabah B, Cheras, dekat sini, ramai penghuninya melepaskan geram kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa tidak mempedulikan nasib mereka yang terpaksa hidup dengan bau busuk sampah dan membawa kepada pertambahan populasi tikus.
Pada tahun ini, perumahan awam tersebut hampir mencecah usia 43 tahun sejak dibina pada 1981. Disebabkan usia Sri Sabah B yang memiliki lima blok dengan penghuni kira-kira 6,000, penghuninya menagih simpati DBKL membaik pulih bangunan perumahan tersebut.

Seorang penghuninya, Abdul Samad Ahmad, 68, yang sudah 30 tahun menetap di PPR Sri Sabah berkata, penduduk atau penyewa di situ berasa mereka dianaktirikan kerana segala aduan tidak dilayan.
“Isu sampah paling utama di PPR ini. Kami sudah membuat aduan di DBKL banyak kali tetapi tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Samad berkata, isu kehadiran tikus menyebabkan beberapa kawasan di PPR itu mengalami tanah mendap berpunca daripada haiwan berkenaan yang membuat lorong bawah tanah.
Bagi Mohamad Ismail, 41, PPR itu langsung tidak dipedulikan PBT berkaitan apabila tiada penyelenggaraan dibuat.
“Contohnya sewaktu kebakaran di tingkat 17 Blok 70 pada Februari lepas, pili bomba tiada air dan ini menyukarkan pasukan bomba memadam kebakaran,” katanya.
Luah Mohamad, kira-kira 6,000 penghuni di situ juga terpaksa menghidu bau busuk air longkang yang melimpah setiap kali hujan lebat.
Senada, penduduk Block 3B, Zainal Abidin Abd Wahab, 70, berkata, DBKL sepatutnya membaik pulih perumahan tersebut yang sudah uzur sebelum berhasrat menswastakannya.
“Badan pengurusan bersama (JMB) diwujudkan untuk melepaskan kerja DBKL tetapi JMB tidak ramai pekerja kerana tiada dana. Inilah yang menyebabkan kawasan ini terabai dan kalau dilihat lebih memeningkan kepala dengan rumput panjang,” katanya yang menyifatkan PPR Sri Sabah tidak banyak beza dengan rumah setinggan.
TIDAK SELAMAT
Tinjauan di PPR Sri Aman, Jinjang yang mempunyai empat blok pula mendapati, rata-rata penghuninya mendakwa ia antara perumahan tidak selamat kerana sering berlaku masalah pecah kereta dan kecurian.
Peniaga kedai runcit, R. Sanjay, 53, berkata, penghuni di situ sudah ‘lali’ setiap kali berlaku kes pecah kereta, curi rim tayar kereta, bateri dan kes-kes kecurian motosikal.
“Kecurian disyaki berpunca ramai penagih dadah di sekitar kawasan ini. Malah orang luar boleh masuk sesuka hati ke PPR ini,” katanya yang sudah lima tahun menetap di situ.
Bekas pekerja kilang dikenali sebagai Rajesh, 56, pula berkata, masalah lain di PPR Sri Aman adalah banyak kenderaan usang terbiar sekali gus menambah sesak tempat letak kenderaan.
“Kereta atau motosikal yang lama terbiar berisiko menjadi tempat pembuangan sampah dan longgokan najis anjing serta kucing liar. Ia menyebabkan bau yang amat busuk dan menjijikkan,” katanya yang memberitahu PPR Sri Aman sudah berusia 15 tahun.
Selain itu, kata Rajesh, sikap buruk penduduk turut memburukkan situasi di PPR.
Katanya, fenomena ‘sampah terbang’ bukan luar biasa di PPR Sri Aman yang berpunca daripada penghuni tidak mengendahkan kebersihan.
“Sampah ‘terbang’ bukan dalam plastik kecil tetapi ada yang tergamak buang sampah dalam plastik besar,” katanya.
Ketika tinjauan dibuat, sampah seperti bungkusan plastik makanan, botol minuman dan kotak rokok boleh dilihat di merata-rata tempat.
Dalam pada itu, seorang penghuni mahu dikenali sebagai Sidek, 62, berkata, dia antara penduduk awal di PPR berkenaan dan isu besarnya adalah penghuni membayar RM66 sebulan wang penyelenggaraan namun tidak nampak kualiti perumahan itu bertambah baik.
“Jika setiap bulan kami perlu membayar RM66 tetapi penyelenggaraan tetap tidak dilaksanakan, tiada guna kami membazirkan wang apabila masalah seperti sampah, lif rosak dan kecurian masih tidak diselesaikan,” katanya.
‘PENAT’ DENGAN MASALAH PAIP, TEMPAT LETAK KERETA SESAK
Di PPR Lembah Subang 1 dan 2, Petaling Jaya, rata-rata penghuni dan pihak pengurusan PPR mengakui ‘penat’ dengan sistem paip serta ruang tempat letak kenderaan yang padat.
Tinjauan di situ turut mendapati, berlaku masalah bau busuk berpunca daripada sampah-sarap tidak dikutip selain najis kucing dan anjing liar ‘berselerak’ di kawasan tangga serta tingkat satu perumahan tersebut.
Penghuninya, Noraniza Idris, 38, berkata, masalah kebocoran paip sejak beberapa minggu lalu di Blok B menyebabkan seluruh blok berbau busuk.
“Apabila masalah ini berlaku, ia bukan sahaja menyebabkan air bertakung, malah rumah saya yang berada pada tingkat lima turut dimasuki air.
“Ada satu hari hujan lebat dan masalah paip bocor menyebabkan rumah saya dinaiki air sampai paras betis,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Fida Kasmida, 50, berkata, masalah lain di PPR itu adalah kepadatan tempat letak kenderaan sehingga ke jalan utama iaitu di luar kawasan perumahan.
Ia disebabkan hanya terdapat satu pintu keluar masuk dan kenderaan yang lama atau rosak ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan.
“Isu yang selalu kita tahu kalau di PPR ini sudah tentu lambakan kereta yang diparkir sesuka hati seperti parkir berlapis di bahu jalan dan hentian bas.
“Tindakan parkir kereta sesuka hati menyukarkan pergerakan kenderaan lain untuk keluar dari kawasan itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C Lembah Subang 2, Nabawi Ridzuan, 37, berkata, tiada had yang ditetapkan bagi setiap keluarga untuk meletakkan kenderaan antara faktor berlaku kepadatan kenderaan.
“Penghuni terpaksa meletakkan motosikal mereka di kawasan taman permainan dan kaki lima bangunan disebabkan tempat letak kenderaan yang terlalu padat.
“Masalah ini semakin memburuk kerana terdapat penghuni yang sering ‘cop’ tempat letak kereta,” katanya.

PPR Lembah Subang 1 dibina pada Mac 1999 (Fasa 1) dan September 2000 (Fasa 2) menempatkan 3,004 unit rumah dengan lapan blok 17 tingkat.
PPR Lembah Subang 2 pula siap dibina pada 2000 dan sebagai salah satu PPR paling ramai penduduk di Selangor dengan menempatkan 12,016 penghuni daripada 3,004 unit dengan empat blok 13 tingkat dan satu blok 14 tingkat.
WARGA ASING DOMINASI KAWASAN NIAGA
Sementara itu, di PPR Kerinchi pula, isu besar diluahkan penghuni adalah terlalu ramai peniaga warga asing terutama Bangladesh dan Aceh yang mendominasi kawasan perniagaan di situ.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR, Abdulrahim Ahmad, 65, berkata, terdapat beberapa penduduk yang tidak bertanggungjawab menyewakan kedai mereka kepada warga asing untuk meniaga di dalam kawasan perumahan itu.
Katanya, mereka mengaut keuntungan dengan mengenakan harga sewa tinggi kepada warga asing seperti Bangladesh.
“Sewa untuk penduduk memohon membuka kedai hanya RM320 sebulan. Tapi ada penyewa tempatan sewakan kedai mereka kepada warga asing sehingga RM1,500 sebulan,” dakwanya.
Kata Abdulrahim, peniaga asing bijak berselindung dengan memanggil pemilik sebenar ke kedai tersebut sekiranya DBKL melakukan pemeriksaan.
“Masalah lebih serius apabila warga asing berkahwin dengan penduduk tempatan di sini, jadi bila serbuan dilakukan DBKL mereka panggil isteri mereka untuk berada di kedai,’ katanya,
Seorang peniaga tempatan Abdullah Md. Sharip, 61, berkata, dia bergelut kerana perlu bersaing dengan peniaga-peniaga asing yang berniaga di kawasan itu.
“Kami terpaksa bersaing dengan kedai-kedai runcit yang disewakan kepada warga asing, kadangkala mereka berniaga sampai 24 jam sehari dan merendahkan harga jualan berbanding jualan di kedai warga tempatan,” katanya. – UTUSAN






