DUNGUN: Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya mengadakan perbincangan awal sebagai persiapan menghadapi PRK tersebut termasuk pemilihan calon untuk merampas semula kerusi tradisi BN itu.
Menurutnya, BN juga akan segera mengumumkan nama calon setelah dikenal pasti nanti, seterusnya dapat bergerak bersama kepimpinan bagi berdepan dengan PRK itu.
Malah, katanya, Datuk Ahmad Jazlan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan persiapan PRK tersebut, semalam.
“Perbincangan awal dah diadakan. Langkah seterusnya ialah mengenal pasti calon dan kita mengadakan perbincangan di peringkat akar umbi dahulu.
“Kita akan tentukan calon dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon dalam PRK Nenggiri susulan kekosongan luar jangka kerusi N43 berkenaan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memberitahu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu disahkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Nik Amar Nik Abdullah pada 19 Jun setelah penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lepas.
Mengenai perkembangan kempen PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang yang memasuki minggu kedua, Zambry yang juga Pengarah BN PRK tersebut berkata, kerjasama baik antara jentera BN dan Pakatan Harapan memberi indikasi yang baik untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Harapqn (PH), Dr. Joohari Ariffin.
“Kita lihat persiapan berjalan lancar dan tiada sebarang masalah yang berlaku dari segi pengurusan dan kerjasama antara BN dan PH, ini menunjukkan indikasi yang baik,” katanya.
“Kita harap rakyat dapat menilai kempen pembangkang yang sentiasa menggunakan cara retorik untuk meraih sokongan. Kita yakin rakyat dapat memilih calon yang terbaik untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya. – UTUSAN






