NIBONG TEBAL : Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akhirnya menyaksikan pertembungan sebenar ‘satu lawan satu’ apabila kedua-dua calon yang bertanding bertembung sesama sendiri ketika sedang berkempen.
Pertembungan itu berlaku di tapak pasar malam Puteri Gunong, Simpang Ampat dekat sini lewat petang tadi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail tiba lebih awal iaitu kira-kira pukul 6.15 bersama penyokongnya diikuti oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin tidak lama selepas ini.
Kedua-duanya sempat bertegur sapa dan bersalam-salaman ketika bertembung di tengah-tengah kawasan pasar malam tersebut.
Meskipun masing-masing membawa pengikut yang ramai, tiada sebarang provokasi atau pergaduhan tercetus dan keadaan dilihat tenang serta terkawal walaupun tanpa kehadiran pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Abidin ketika ditemui pemberita memberitahu, sambutan yang diberikan oleh pengundi di Sungai Bakap khususnya bukan Melayu kepadanya agak baik.

“Alhamdulillah, hari ini kita turun kempen bersama YB Wong (ADUN Kulim, Wong Chia Zhen), kemudian ada wakil DHPP (Dewan Himpunan Penyokong Pas) daripada kaum India dan lain-lain.
“Maklum balas daripada kaum Tionghua dan India (di Sungai Bakap) kepada saya dan PN positif dan amat baik,” ujar beliau.
Tambah Abidin, selain isu air, beliau akan cuba menyelesaikan isu lalat yang mengganggu sebahagian daripada penduduk di Sungai Bakap ketika ini.
“Kita akan bawa isu ini (lalat) kepada pihak yang berkaitan sebab kita ada jawatankuasa khas dan saya ada dalam tu. Kita boleh ‘endorse’ (beri sokongan) kepada pihak yang berkenaan,” ujar beliau.-UTUSAN






