BUKIT MERTAJAM : Jabatan Perikanan (DoF) menyarankan penternak akuakultur agar segera mendaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro sebelum memohon bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, terdapat kira-kira 7,900 penternak akuakultur di seluruh Semenanjung Malaysia yang berdaftar di bawah pihaknya setakat ini.
“Daripada jumlah itu, hanya 1,232 individu yang telah memohon untuk mendapatkan sumbangan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sambutan pendaftaran (GeoAgro) agak baik cuma sedikit perlahan. Maka, kita ingin menyeru semua kumpulan sasar terutamanya penternak akuakultur untuk segera mendaftar di portal berkenaan bagi membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat serta data-data asas yang diperlukan.
“Sekiranya mereka memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan, langkah seterusnya yang perlu dilakukan adalah memohon Budi Madani sekali gus dapat menikmati bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya selepas merasmikan Karnival myAgroprenur (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Utara 2024 di sini, hari ini.
Bulan lalu, media melaporkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Menurutnya, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.
Dalam perkembangan lain, Adnan memberitahu, Bancian Pertanian 2024 yang bakal berlangsung selama tiga bulan bermula 7 Julai hingga 10 Oktober depan membabitkan tiga subsektor utama perikanan di bawah DoF.
Katanya, bancian yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meliputi subsektor perikanan tangkapan yang melibatkan nelayan yang menangkap ikan di laut, subsektor akuakultur dan juga subsektor nelayan darat yang menangkap ikan di sungai, tasik dan lombong.
“Berdasarkan rekod, kita ada lebih kurang 49,000 bot penangkapan ikan berlesen yang berdaftar di seluruh negara selain 21,000 penternak akuakultur dan 14,000 nelayan darat.
“Kita harap kerjasama mereka untuk memastikan proses bancian ini berjalan lancar,” katanya.-UTUSAN






