NIBONG TEBAL : Kira-kira 180,000 kenderaan barangan dikesan masih belum membuat permohonan ‘fleet card’ menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 389,000 kenderaan diesel yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat ini.
“Setakat ini, hanya 209,000 kenderaan yang telah mendaftar bagi permohonan bantuan tunai subsidi diesel SKDS 2.0 manakala selebihnya (180,000 kenderaan) belum berbuat demikian.
“Pemilik mungkin ingat mereka tidak layak sedangkan permohonan sudah boleh dikemukakan walaupun mereka hanya memiliki satu kenderaan sahaja.
“Dalam hal ini, pemilik yang berkenaan masih boleh memohon sekiranya memenuhi kriteria 23 jenis kenderaan layak seperti disenarai Kementerian Kewangan (MOF),” katanya kepada pemberita di sini, petang tadi.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah Madani di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini, hari ini.
Pada 9 Jun lalu, media melaporkan sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS biarpun harga baharu diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu.
Ini bermakna, sektor pengangkutan awam darat akan terus menikmati harga subsidi diesel pada RM1.88 seliter, manakala kenderaan pengangkutan barangan darat pula bakal menikmati harga RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung dakwaan pemberian subsidi sebanyak RM200 bagi kenderaan pengangkutan barangan tidak mencukupi, Fuziah berkata, tiada kuota ditetapkan bagi kenderaan itu setakat ini.
“Penyasaran subsidi diesel di bawah KPDN ialah syarikat dan kita guna sistem ‘fleet card’. Maka, ini berbeza dengan dua lagi (Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi).
“Setakat ini, tiada kuota ditetapkan menerusi ‘fleet card’ dan ia diberi mengikut keperluan syarikat tersebut kerana kebiasaannya kita faham logistik barangan membuat penghantaran jauh contohnya dari utara ke selatan.
“Selain itu, kita juga buka ruang perbincangan bagi kenderaan yang tidak tersenarai dalam sistem,” katanya.-UTUSAN






