PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sebuah agensi penguatkuasaan yang menjadi alat kerajaan dan mengambil tindakan pendakwaan terpilih.
Itu penegasan dibuat Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki bagi mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan pendakwaan terbaharu membabitkan anaknya baru-baru ini.
Tegas Azam, tindakan yang diambil SPRM adalah secara profesional tanpa mengira latar belakang individu tertentu.
“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan kerana tindakan kami adalah tindakan yang profesional, tidak mengira siapa sama ada pihak pegawai kerajaan, ahli politik melibatkan kerajaan pada hari ini dan sebagainya.
“Apabila ada laporan dan kesalahan, kita akan tuduh di mahkamah, itu saja kerja saya, saya tidak ada pendakwaan terpilih di sini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada pelancaran buku ‘The Sin Of Coruption A Religious Perspective’ di sini semalam.
Sebelum ini Hamzah mendakwa, pendakwaan terbaharu membabitkan anaknya itu sebagai siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada beliau sebagai ketua pembangkang.
Pada 5 Jun lalu, anak lelaki Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.
Muhammad Faisal, 40, yang juga ahli perniagaan dituduh menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan. – UTUSAN





