IPOH: Tempoh reman pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes dera hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilanjutkan sehingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman ke atas lelaki berusia 66 tahun dan isteri, 27, itu disambung lima hari lagi selepas ditahan reman selama tujuh hari sebelum ini.
Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.
“Siasatan terperinci perlu dijalankan sebelum pendakwaan dibuat, jadi kita membuat permohonan sambung reman terhadap pasangan suami isteri itu sebelum dibenarkan mahkamah hingga Jumaat ini,” katanya di sini hari ini.
Pada 10 Jun lalu, pasangan suami isteri ditangkap di kediaman mereka di Taman Malcop, Silibin di sini berikutan kematian anak angkat yang ditemukan dengan kesan lebam di badan.
Selain lebam di seluruh badan disyaki dipukul objek tumpul, pemeriksaan juga mendapati terdapat luka koyak dan lebam pada peranakan luar dan dubur mangsa.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul. – UTUSAN





