KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan melakukan siasatan lanjut terhadap sebuah syarikat tempatan berkaitan semikonduktor yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, siasatan mesti dilakukan terlebih dahulu memandangkan syarikat tersebut antara kira-kira 300 syarikat di dunia yang dikenakan sekatan oleh AS.
Kata beliau, dirinya difahamkan syarikat itu juga bukannya pengeluar semikonduktor tetapi syarikat perdagangan yang menjual perkakasan berkaitan industri tersebut.
“Kalau kita tengok syarikat itu baik, kita biar MITI mengambil masa mendalami isu yang ada dan memahami kalau ada apa-apa atau benar-benar berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Beliau hadir ke Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 di Renaissance Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Media antarabangsa melaporkan AS telah mengenakan sekatan terhadap kira-kira 300 entiti termasuk firma semikonduktor Malaysia, Jatronics Sdn Bhd kerana didakwa membekalkan tentera Rusia dengan komponen elektronik berkaitan.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, walaupun Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka tetapi kerajaan tetap mahu perniagaan dijalankan dengan cara yang betul.
Jelasnya, Malaysia tidak akan bertolak ansur sekiranya syarikat tersebut didapati melakukan perkara yang tidak elok. – UTUSAN






